
Pada 7 September 2025, sebuah program khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia telah diadakan di semua Pusat Ekonomi Digital (NADI) di seluruh negara. Program yang dikenali sebagai Merdeka & Hari Malaysia @ NADI ini dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Tujuan utama program ini ialah untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat.
Sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bagi menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur. Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah pertandingan mewarna, kuiz kemerdekaan, dan pertandingan pakaian beragam bertemakan Jalur Gemilang. Selain itu, pihak penganjur turut mengadakan pameran digital, aktiviti interaktif ICT, serta sudut informasi Malaysia Madani. Kesemua aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pengetahuan berguna kepada para peserta.
Sambutan daripada komuniti setempat amat menggalakkan. Kanak-kanak, remaja, golongan belia dan warga emas bersama-sama memeriahkan program ini dengan penuh semangat patriotik. Suasana meriah dan berwarna-warni jelas menggambarkan semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.



Kesimpulannya, Program Khas Merdeka & Hari Malaysia @ NADI berjaya mencapai objektifnya untuk menyemai semangat cintakan tanah air, menghargai kepelbagaian budaya serta mengukuhkan semangat perpaduan. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang agar masyarakat sentiasa menghargai kemerdekaan negara yang kita kecapi pada hari ini.