Tarikh : 28 Januari 2016
Tempat: Kampung Tambirat, Asajaya
Sebuah kampung yang berhampiran dengan Kampung Sri Tajo iaitu Kampung Tambirat telah berlaku kebakaran pada 28 Januari 2016 yang lalu. Kejadian tersebut terjadi pada jam 11.20 malam telah mengakibatkan dua buah rumah musnah dan enam penghuni tinggal sehelai sepinggang. Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada empat lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak tidak cedera.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam selepas menerima panggilan kecemasan. Bagaimanapun, kedua-dua rumah tersebut sudah 95 peratus musnah dalam kebakaran ketika BBP Kota Samarahan tiba. Ahli bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengawal api dari merebak ke rumah bersebelahan. Operasi ditamatkan pada pukul 1.40 pagi. Pihak bomba juga masih menyiasat punca kebakaran.
Pada 29 Januari 2016, musibah yang menimpa dua buah keluarga di Kampung Tambirat mendapat perhatian daripada dua wakil rakyat kawasan terbabit. Bantuan keperluan harian dan sumbangan peribadi telah diberikan oleh Menteri Muda Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Karim Rahman Hamzah dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Puan Rubiah Wang. Mereka juga telah membantu menguruskan proses membina semula rumah mangsa kedua-dua buah keluarga tersebut dalam tempoh segera. Sementara menunggu proses membina semula rumah mereka siap sepenuhnya, mangsa kedua-dua buah keluarga tersebut kini ditempatkan di rumah saudara mara mereka.
Sumber: http://www.utusanborneo.com.my/content/mangsa-kebakaran-terima-bantuan-segera , http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/dua-rumah-musnah-enam-penghuni-tinggal-sehelai-sepinggang-1.184832